Rakan-rakan Blog

Hero II

|

Gambar terakhir yang sempat dirakamkan.
Waktu aku sedang menulis coretan ini, aku mahu kau tahu satu, aku sangat merindui engkau kawan. Mungkin ada antara kita yang yang pelik dengan sikap aku. Mungkin mereka tidak dapat mengerti kerana mereka tidak pernah lalui apa yang sedang aku lalui. Walaupun ada kehilangan ahli keluarga sendiri sebelum ini pun aku tak pernah serindu ini. Mungkin engkau seorang yang banyak meninggalkan memori dalam hidup aku sebagai seorang kawan yang rapat. Entry kedua yang aku tulis selepas entry HERO untuk engkau. Saat-saat cuti sememangnya terasa begitu kosong, tanpa panggilan engkau didepan rumah mahupun sahutan engkau dirumah engkau. Aku rasa macam dah tiada makna untuk aku hari-hari cuti sebegini, tiada lagi panggilan telefon dari engkau seperti sebelum ini. Aku selalu megimbau kenangan kita bersama, samada sengaja ataupun tidak. Bergurau, bergelak tawa dan kadang-kadang bermasam muka. Jujur aku katakan, tiada yang dapat mengambil tempat engkau sebagai seorang kawan. Mungkin persahabatan kita sebagai lelaki dengan lelaki jauh beza antara persahabatan di antara dua orang gadis. Gurau secara kasar adalah makanan harian kita, tapi masing-masing sudah mengerti, terlampau mengerti akan gurauan tersebut. Jarang kita akan terasa hati. Walaupun masing-masing tak pernah tunjukkan perasaan sayang antara kawan-kawan, tapi kita sendiri sudah faham dan mengerti tentang apa itu erti persahabatan. Sebagai lelaki, secara normalnya perasaan ego itu akan wujud, walau kepada sesiapa sekalipun. Kepada kawan kadang-kadang ia akan datang dan sudah semestinya kepada seorang lawan. Apabila engkau pergi, kekesalan tertanam di dalam hati kerana tidak dapat melafazkan perkataan sayang dari mulut seorang teman kepada dirimu. Mungkin tuhan lebih sayangkan engkau, tapi ramai yang tidak dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Masakan dalam usia yang begitu muda engkau telah dijemput bertemu dengan tuhan pencipta sekalian alam. Ajal maut memang di tangan-Nya, tapi kesedihan tetap tergambar di wajah-wajah insan yang merinduimu termasuk sahabatmu ini. Aku selalu terkenangkan suatu ayat yang aku terdengar entah dari mana, 'Tidak kira selama mana engkau hidup tetapi apa yang penting adalah apa yang engkau lakukan dalam hidup'. Engkau sudah menggembirakan hati teman-temanmu. Adakah ia cukup? Terlampau cukup bagiku kawan. Sukar untuk kita tafsirkan perkataan gembira, tapi kadangkala ia datang tanpa diduga dan bila-bila masa ia akan pergi, ia juga mungkin tidak akan berulang lagi. Kita pernah bermasam muka, tapi itu adalah adat dalam persahabatan. Tiada persefahaman yang dapat dikejar sekiranya tiada pertelingkahan. Aku pasti tentang itu. Jika tidak kenapa sehingga sekarang engkau masih berlegar-legar dibenakku? Engkau kawan terbaik yang pernah aku jumpa. Mungkin tiada yang dua. Aku kurang pasti tentang sesuatu, adakah apabila kita pergi baru perasaan sebegini akan muncul oleh orang-orang sekeliling kita? Entahlah, aku tidak menipu tentang diri aku sendiri. Aku masih mahukan engkau disisi sebagai teman yang sejati. Mungkin engkau telah bahagia disana. Pergi dalam usia yang muda. Didalam hatiku selalu berfikir yang mungkin dengan cara engkau diambil olehnya awal dapat membendung dirimu dari memikul lebih banyak dosa. Engkau antara insan yang bertuah, tapi aku? Belum tahu lagi bila masanya. Sudah lama kaki ini tidak dapat menjejakkan kaki ke pusaramu kawan, tapi doa dari seorang sahabat ini tidak akan pernah putus untuk seorang kawan yang aku kasihi, Muhammad Aliff Fahmey bin Yaacob. Aku harap engkau bahagia disana hendak-Nya dan semoga roh engkau ditempatkan diantara golongan orang yang beriman.

 

P/S : Susah menilai persahabatan itu sendiri walaupun kadangkala ia adalah sesuatu yang perlu.

Pecah Kaca Pecah Simen, Sudah Baca Harap Komen. :)

0 Commments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket
Protected by Copyscape Unique Content Checker